Kunjungan Hormat PERBEKAS ke atas Pengarah Kastam Negeri Pahang

July 2, 2026 By 0 Comments

2 Julai 2026, Kuantan, Pahang : Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS), yang diketuai oleh Presidennya, YBhg. Dato’ Hj. Bedolah bin Botok, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Kastam Negeri Pahang, YBhg. Tuan Mohd Asri bin Seman, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara PERBEKAS dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Pahang.

Kunjungan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muhibah, sekali gus menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan komuniti pesara serta hala tuju kerjasama antara kedua-dua pihak. Sesi ini turut mencerminkan komitmen berterusan PERBEKAS dalam menjalinkan hubungan yang erat dengan kepimpinan JKDM Negeri bagi memastikan kebajikan dan kepentingan warga pesara terus diberi perhatian.

Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kerjasama antara JKDM dan PERBEKAS, memperluaskan penglibatan bakal pesara serta pesara dalam aktiviti persatuan, penerbitan Buletin PERBEKAS Zon Pantai Timur, serta pelaksanaan program-program kebajikan seperti Kempen Peranti Kesihatan PERBEKASCARE dan Program PEYATIM.

PERBEKAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Kastam Negeri Pahang atas kesudian menerima kunjungan ini. Diharapkan hubungan baik yang telah terjalin akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama yang berterusan, sekali gus menyumbang kepada usaha memelihara legasi perkhidmatan, semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan warga Kastam Malaysia.