Kunjungan Hormat PERBEKAS ke atas Pengarah Kastam Negeri Johor

August 20, 2026 By 0 Comments

20 Ogos 2026, Johor Bahru, Johor  – Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS) telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Pengarah Kastam Negeri (PKN) Johor, YBrs. Tuan Aminul Izmeer bin Mohd Sohaimi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan persatuan memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Delegasi PERBEKAS diketuai oleh Dato’ Hj. Bedolah B. Botok, Presiden PERBEKAS, bersama Dato’ Hj. Ja’apar B. Mansor, Setiausaha PERBEKAS, Tuan Hj. Muhamed Sultan B. A. Hamid, Pengerusi PERBEKAS Negeri Johor dan diserta oleh Encik Renutasan Rajan, Urusetia Buletin PERBEKAS.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh PKN Johor dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni. Pertemuan ini menjadi wadah untuk bertukar pandangan serta mempererat hubungan antara PERBEKAS dengan pihak pengurusan JKDM Negeri Johor.

Dalam pertemuan berkenaan, PERBEKAS turut menekankan kepentingan hubungan yang berterusan antara pegawai Kastam yang sedang berkhidmat dengan bekas pegawai Kastam, khususnya dalam memelihara ukhuwah, menghargai jasa dan pengalaman warga Kastam terdahulu serta memperkukuh semangat kekeluargaan dalam perkhidmatan.

Kunjungan ini juga membuka ruang kepada PERBEKAS dan JKDM Negeri Johor untuk mempertingkat sokongan serta kerjasama dalam pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada warga Kastam, termasuk ahli-ahli PERBEKAS.

PERBEKAS merakamkan penghargaan kepada YBrs. Tuan Aminul Izmeer bin Mohd Sohaimi, PKN Johor, serta seluruh warga JKDM Negeri Johor atas sambutan dan kerjasama yang diberikan. Semoga pertemuan ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih erat dan kerjasama yang berterusan antara PERBEKAS dan JKDM Negeri Johor demi memperkukuh legasi serta ukhuwah warga Kastam.

Pautan: https://www.facebook.com/share/p/1Dk5ZKb9h7/