Kunjungan Hormat PERBEKAS ke atas Pengarah Kastam Negeri Kelantan

June 30, 2026 By 0 Comments

30 Jun 2026, Kota Bharu, Kelantan : PERBEKAS telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas YBrs. Tuan Mohd Hisham bin Mohd Nor, Pengarah Kastam Negeri Kelantan, di Pejabat Pengarah Kastam Negeri Kelantan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara PERBEKAS dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh YBrs. Tuan Mohd Hisham bin Mohd Nor, PKN Kelantan dalam suasana penuh mesra dan harmoni. Pertemuan ini menjadi medan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama, bertukar pandangan serta membincangkan pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan kebajikan warga pesara dan usaha memperkasakan peranan PERBEKAS sebagai rakan strategik jabatan.

Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara yang menyentuh kepentingan bersama telah dibincangkan, antaranya pengukuhan kerjasama strategik antara JKDM dan PERBEKAS, usaha memperkenalkan PERBEKAS kepada bakal pesara dan pesara, sokongan terhadap penganjuran program persatuan, selain perancangan penerbitan Buletin PERBEKAS Zon Pantai Timur. Perbincangan turut merangkumi pelaksanaan program kebajikan PERBEKAS seperti Kempen Peranti Kesihatan PERBEKASCARE dan Program PEYATIM.

PERBEKAS berharap hubungan erat yang terjalin bersama JKDM Negeri Kelantan akan terus diperkasakan melalui kerjasama yang berterusan, sekali gus menyumbang kepada perpaduan warga Kastam merentasi generasi dan memperkukuh semangat kekeluargaan dalam komuniti Kastam Malaysia.