Lawatan PERBEKAS ke Batam, Indonesia
15–18 Disember 2025, Batam, Indonesia – Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS) telah menganjurkan lawatan ke beberapa destinasi menarik di Batam, Indonesia, meliputi Pulau Penyengat, Pulau Bintan dan Tanjung Pinang. Lawatan selama empat hari ini memberikan peluang kepada para peserta untuk meneroka keunikan sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.
Perjalanan bermula dengan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Jeti Puteri Harbour International Ferry Terminal, Johor, sebelum meneruskan perjalanan dengan feri ke Pulau Batam. Sepanjang lawatan, para peserta turut menaiki sampan ke Pulau Penyengat yang terkenal dengan nilai sejarah dan warisan Kesultanan Melayu.
Pelbagai tempat menarik telah dikunjungi, antaranya Masjid Sultan Mahmud Ri’ayat Shah, Masjid Tanjak, Masjid Cina, Pantai Pasir Pink, Gurun Pasir, Jambatan Barelang dan Lagoi Bay. Setiap destinasi menawarkan pengalaman tersendiri, daripada menghayati sejarah dan seni bina masjid hinggalah menikmati keindahan pantai serta landskap semula jadi yang unik.
Walaupun perjalanan antara pulau memerlukan para peserta turun dan menaiki feri beberapa kali, keadaan tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan pengembaraan. Malah, kesempatan berada di Indonesia turut dimanfaatkan untuk membeli-belah serta mendapatkan pelbagai cenderamata sebagai kenangan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada para peserta, malah menjadi wadah untuk mempererat persahabatan dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan ahli PERBEKAS. Perjalanan yang dipenuhi kunjungan ke tempat menarik serta pengalaman bersama ini pastinya meninggalkan seribu satu kenangan manis yang akan terus terpahat dalam ingatan setiap peserta.

Share on Facebook Share on Twitter Share on Pinterest
0 Comments on "Lawatan PERBEKAS ke Batam, Indonesia"