Kunjungan Hormat PERBEKAS ke atas Pengarah Kastam WPKL
19 Oktober 2026, Kelana Jaya, Selangor : Dalam usaha memperluas jaringan kerjasama dengan kepimpinan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), YBrs. Puan Wan Norizan Binti Wan Daud. Delegasi PERBEKAS diketuai oleh YBhg. Dato’ Hj. Bedolah bin Botok, Presiden PERBEKAS.
Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta membincangkan peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada persatuan dan komuniti pesara Kastam. Hubungan yang baik antara PERBEKAS dengan pihak JKDM amat penting bagi memastikan pengalaman serta sumbangan bekas warga Kastam terus dihargai, di samping mengekalkan hubungan silaturahim antara pesara dengan anggota yang masih berkhidmat.
Perbincangan tersebut turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan bakal pesara Kastam mengenai PERBEKAS, memperluas penglibatan mereka dalam aktiviti persatuan serta memperkukuh sokongan terhadap penganjuran program-program yang dirancang. Selain itu, inisiatif kebajikan seperti Kempen Peranti Kesihatan PERBEKASCARE dan Program PEYATIM turut mencerminkan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan komuniti serta menyumbang kepada masyarakat.
PERBEKAS berharap kunjungan ini dapat membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dengan JKDM WPKL pada masa hadapan, sekali gus menyemarakkan semangat kekeluargaan dan memastikan hubungan antara warga Kastam terus terpelihara merentasi generasi.

Share on Facebook Share on Twitter Share on Pinterest
0 Comments on "Kunjungan Hormat PERBEKAS ke atas Pengarah Kastam WPKL"